f

Get in on this viral marvel and start spreading that buzz! Buzzy was made for all up and coming modern publishers & magazines!

Fb. In. Tw. Be.
azzam

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Angin meniup sayup. Gemawan memenuhi langit menutupi terik mentari. Sekumpulan burung yang terbang di udara menceriakan lagi suasana pada petang itu. Azzam menyandarkan kepala di bawah naungan pohon kelapa. Di hadapannya terbentang luas sawah menghijau dengan berlatarbelakangkan anak bukit. Menggambarkan suasana kampung yang indah dan permai.

Fikiran Azzam melayang bersama angin senja. Suara anak-anak kampung yang ceria bermain lelayang ditengah padi itu langsung tidak menganggu ketenangannya. Dirinya hanya tenggelam dengan kesakitan di hati. Sepanjang hayat akan di kandung dalam ingatan.

“Jauh termenung. Fikirkan apa itu?” Satu suara menyapa mengembalikan lamunannya ke pangkuan realiti.

Azzam menoleh ke kanan. Fitri kawan sekampung merangkap teman baiknya terus duduk bersebelahannya. Azzam tersenyum nipis menyembunyikan perasaan. Baginya bukan satu keperluan untuk berkongsi rasa yang ditanggung. Ia hanyalah tinggal sejarah dan kenangan lalu. Walaupun ketika peristiwa itu terjadi, Fitri ada bersamanya menjadikan hal itu telah terakam dalam ingatan kawan baiknya.

Tidak ada yang perlu disesali apalagi untuk menyalahkan takdir. Yang berlalu akan terus berlalu. Sekarang ini masanya untuk melewati suasana dan kebiasaan yang baru. Tekad paling kuat dalam hati Azzam.

“Kau tak pergi ke? Bukankah dia jemput kau”. Sekali lagi Fitri memulakan perbualan.

“Tak pun.” Balas Azzam ringkas.

Seketika keheningan mengisi ruang antara mereka.

“Aku minta maaf. Tak patut tanya akan hal itu.” Ujar Fitri dengan serba salah.

Azzam menepuk perlahan bahu Fitri. Tanda dia tidak mengambil hati.

“Kau perlu tahu sebagai lelaki kita salah menjadi lemah. Sebagaimana air mata yang turun dari mata lelaki adalah dosa. Berputus asa juga memberi erti yang sama. Jadi apa pun alasannya aku masih baik-baik sahaja.” Balas Azzam panjang lebar menyakinkan temannya.

Baca Juga  Tempe Mendoan dan Pencarianku (2)

Sementara waktu semakin menghampiri gelap. Keriuhan suara anak-anak kampung yang bermain tadi semakin sepi. Azzam ingin segera pulang kerana tidak mahu memanjangkan bicara dengan Fitri. Dia berusaha menyembunyikan emosi yang menganggu.

Bahawa emosi berat yang terkandung akan melukiskan eksperiasi wajah. Dia menghargai kehadiran teman baiknya disaat ini yang datang sebagai pendukung semangat. Namun dia hanyalah ingin bersendiri buat seketika. Memulihkan kerapuhan jiwa yang begitu menyakitkan diri.

“Okay Azzam. Aku faham. Kalau perlukan apa-apa jangan lupa telefon aku. Kita jumpa dekat tempat biasa. Cuma satu saja aku minta. Jangan persia-siakan kebahagiaan lain hanya kerana satu kebahagiaan itu telah pun musnah.” Ucap Fitri dengan segunung keyakinan.

Mengharapkan agar semangat Azzam akan segera pulih dari masa lalunya.

                             ***

“Azzam mari turun makan ni.” Jerit bondanya dari arah dapur.

Azzam yang berada di ruang tamu rumahnya segera mengatur langkah menuju ke dapur. Bunyi lantai kayu yang dipijak turut bersama-sama mengiringi langkahnya. Perlahan-lahan Azzam menuruni tangga kayu itu dan segera lompat menuju ke meja. Mata Azzam sedikit terbuntang luas melihat lauk pauk yang berada di atas meja. Dia kenal itu lauk kenduri. Bondanya yang sedang menarik kerusi untuk duduk hanya menghantar dengan pandangan sayu. Memahami kesedihan yang melanda anak tunggalnya.

Kemiskinan hidup membuatkan percintaan anak terunanya dengan gadis dari keluarga bangsawan mendapat tentangan. Dirinya mampu terdiam saat mendapat kunjungan keluarga bangsawan itu ke rumahnya bahawa mereka tidak merestui perhubungan yang terjalin. Walaupun keluarga itu orang yang baik dan tidak menghina dirinya namun dia dikhabarkan dengan kenyataan anak gadisnya sudah pun diatur pilihan hati yang setaraf dengan darjatnya. Kedatangan mereka kemari hanya untuk mengingatkan agar anak lelakinya tidak usah lagi berhubungan sembarangan.

Baca Juga  Cinta Ifah untuk Ibu

Tengah hari itu Azzam yang baru pulang dari mengerjakan kerja di sawah begitu terkejut mendengar berita itu. Matanya berkaca menahan bilah-bilah tajam yang merobek hati lelakinya. Percintaan selama sepuluh tahun akhirnya tersia-sia kerana perbezaan darjat dan hari ini kedatangan mereka dengan kad jemputan perkahwinan hampir meragut kewarasannya. Lantas dia beristighfar dalam kesakitan yang tiada tepian. Fitri yang berada disisinya segera memeluk dan menenangkannya. Ketika itulah segala keegoannya runtuh di hadapan Fitri. Bukanlah saat untuk merasa malu kerana menangis. Dia kalah kerana ketulusan mencintai walaupun tidak mampu memiliki.

Azzam tidak menjamah lauk pauk kenduri dari bekas kekasihnya. Dia hanya menggoreng telur untuk alas kantung laparnya yang asyik berkeroncong. Dia tidak memarahi apalagi mempersoalkan bondanya pergi ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya. Kebanyakan orang miskin disini akan mengambil peluang untuk pergi ke kenduri kahwin. Kebiasaannya tuan rumah akan membahagi sedikit lauk.

Bahkan mengangkat kesyukuran kepada orang yang tidak berkemampuan. Dia memahami tujuan bondanya ke sana. Malam ini juadah lauk kenduri mengisi perut bondanya. Pendapatan mengerjakan sawah orang tidaklah sebesar mana. Sekadar mampu membeli telur dan sardin yang hanya bertahan tidak kurang seminggu.

Melupakan bukan perihal yang mudah. Jiwa dan hati saling berkeringat menepi ingatan dan kerinduan. Seberapa banyak mencuba memadam bayangan wajah,  semakin terseksa rasanya. Kepada Tuhan menggantungkan harapan agar kekuatan menjadi sandaran. Manusia menjadi berani kerana cinta. Manusia juga bisa menjadi sakit kerana cinta. Sepahit-pahit masa lalu akan kalah dengan kebangkitan. Hal paling hebat ketika bangkit adalah tidak lagi merasa sakit ketika teringat. Inilah kemanisan yang dinanti oleh pemuda lewat 30 an itu.

Baca Juga  Gelombang yang Tak Pernah Mereda

Kesakitan ini persinggahan sementara. Mengajarkan makna dan nilai-nilai tersirat. Tugas memahami diserahkan kepada waktu. Suatu hari nanti dia akan meneguk asbab dan hikmah yang terjadi.

Bunyi enjin motorsikal mengejutkan dirinya. Fitri datang memegang tupperware berwarna biru lalu menghulurkannya. Azzam terus mengambil dan mencium aroma Pengat Pisang. Makanan kegemarannya sejak kecil.

“Emak aku yang masak lepas asar tadi. Makanlah dengan bonda kau.” Ujar Fitri sambil matanya memandang ke dalam rumah Azzam.

Azzam enggan memikirkan soal cinta. Dia menganggap patah hati hari ini adalah satu pengajaran agar tidak sesekali membazirkan waktu panjang dengan percintaan. Dalam hatinya bertunas kesyukuran yang membahagiakan di kala dia dalam kedukaan. Tuhan mengirimkan sahabat buat dirinya. Antara cinta dan persahabatan, kedua-duanya berharga. Hilang cinta namun dia masih memiliki sahabat. Sekurang-kurangnya hal sederhana ini mampu merawat seketika kelukaan batinnya. Kerana setiap yang pergi akan diganti kembali oleh Ilahi.

– Tamat –

Bagikan
Post tags:
Post a Comment